" Orang yang kuat dan sabar adalah orang yang berjaya menyembunyikan perasaan sedihnya kepada orang lain dan sentiasa mengukir senyuman dengan ikhlas "

Isnin, 12 Jun 2017

Sejarah Asal Usul Suku Kaum Bajau Semporna



My research (thesis)

Mari kita belajar sama2 sejarah suku kaum Bajau Semporna …lepas ini harap ndak da lagik org yang confuse dgn suku kaum Bajau Darat dan Bajau Laut! Mengkaji itu bukan mudah perlukan penelitian lebih mendalam dr pelbagai sumber maklumat spt kajian para sarjana dan temubual bersama org2 kg…sy fokuskn kepada suku kaum Bajau di Semporna sahaja.

Sejarah Asal Usul Suku Kaum Bajau Semporna

Negeri Sabah merupakan salah satu negeri di Malaysia yang terletak di Utara Pulau Borneo bukan sahaja kaya dengan keindahan alam semulajadi, tetapi ia juga kaya dengan warisan budaya penduduk yang pelbagai etnik. Suku kaum Bajau adalah antara penduduk asal kepulauan Borneo sejak berabad lama iaitu merupakan suku kaum kedua terbesar di Sabah dan suku kaum Bajau atau samah terbahagi kepada dua, iaitu Bajau Laut dan Bajau Darat. Bajau Samah terbahagi kepada dua iaitu Bajau Samah Pantai Barat (Kudat, Kota Belud, Tuaran, Papar), manakala bagi Bajau Samah Pantai Timur (Semporna, Tawau, Lahad Datu, Sandakan).

Sebelum ditabdir oleh British North Borneo Chartered Company (BNBCC) pada tahun 1881, Semporna merupakan sebahagian daripada jajahan takluk Kesultanan Sulu yang diletakkan dalam wilayah pentadbiran Magindanao iaitu setelah berjaya membantu Kesultanan Brunei menumpaskan musuhnya di Pulau Chermin. Selepas tahun 1881, Semporna dan lain-lain wilayah Kesultanan Sulu di Borneo Utara telah diserahkan kepada BNBCC “untuk selamanya dan berkekalan”, dan nama “Tong Talun” (hujung hutan) telah ditukar kepada “Semporna” yang membawa maksud “tempat yang aman dan damai”.

Berdasarkan kepada teori asal-usul suku kaum Bajau di Sabah nampaknya cenderung untuk mengaitkannya berasal daripada Johor, tetapi sama sekali tidak. Asal-usul suku kaum Bajau di Semporna adalah berasal dari selatan Filipina. Ianya hanya dikaitkan dengan kerajaan Johor pada suatu ketika kerana terdapat dua orang adik-beradik dari Sulu (Filipina) iaitu Haklum Nuzum dan adiknya Seliangaya Bungsu sangat meminati puteri Siti Zairan Kebaran iaitu anak kepada Sultan Mahalikul Alam yang memerintah Johor. Puteri Siti Zairan Kebaran cukup terkenal dengan kejelitaannya dan telah menarik minat dua orang adik-beradik dari Sulu ini. Untuk berlaku adil, maka Sultan Mahalikul Alam telah mengadakan pertandingan lumba perahu antara dua adik-beradik ini iaitu belayar ke Pulau Angsa yang terletak diperairan Johor dan sesiapa yang memenanginya akan dikahwinkan dengan Puteri Siti Zairan Kebaran. Dalam perlumbaan tersebut, layar perahu milik Seliangaya Bungsu telah patah dan tewas dalam pertandingan tersebut. Disebabkan kegagalan tersebut, beliau telah bertekad untuk tidak ke Johor dan meneruskan pelayarannya sehingga tiba di Pulau Sambuanga (Zamboanga) di selatan Filipina. Seliangaya Bungsu telah menetap dan berkahwin dengan seorang wanita di Pulau Sambuanga dan dianugerahkan dua orang cahaya mata iaitu lelaki dan perempuan. Adalah dipercayai kedua-dua anak tersebut telah melakukan hubungan sumbang dan perkara tersebut diketahui oleh Saliangaya Bungsu. Seliangaya Bungsu berasa malu lalu membawa diri belayar ke Pulau Omadal (Omaral) dan dipercayai keturunannya berkembang di Pulau Omadal dan seterusnya berpindah di kawasan persekitaran terutamanya ke Pulau Bum-Bum yang terletak berhadapan dengan tanah besar Semporna dan tempat mereka berhimpun itu dinamakan Kubang yang bermaksud "berhimpun atau berkumpul". Dalam erti kata lain, tindakan suku kaum Bajau yang berhijrah dari Pulau Omadal dan membuka petempatan secara tetap di tanah daratan di Pulau Bum-Bum telah menghilangkan identiti dan budaya nomad mereka yang pernah mereka budayakan suatu masa dahulu dan akhirnya mewujudkan satu suku Bajau baru yang dikenali sebagai Bajau Kubang, Bajau Sampulna (Semporna) atau Bajau Darat (Land Bajau). Jadi, secara keseluruhannya suku kaum Bajau di Semporna memang berasal dari Filipina semasa era pemerintahan Kesultanan Sulu adab ke-18, di mana mereka ini mula bermigrasi dan menetap di kawasan perairan pantai timur Sabah yang dipercayai keturunannya daripada Seliangaya Bungsu.

Masyarakat bajau samah pantai timur khususnya daerah Semporna terkenal dengan kegiatan penangkapan hasil laut. Di Filipina, suku kaum ini telah diberikan gelaran sebagai kaum "Badjau" oleh Marco Polo sebagai kaum yang mahir dengan kehidupan laut dan tinggal dalam perahu. Kaum ini kemudiannya telah sampai ke kawasan Pantai Timur Sabah dan mendiami kawasan Semporna, Tawau, Lahad Dato dan Sandakan. Bagi membezakan suku ini, mereka dikenali sebagai suku "sama'" dari suku kaum "Badjau" yang berasal dari Selatan Filipina.

Di bawah pentadbiran Kerajaan Sabah, secara keseluruhannya kaum Bajau Darat yang telah menetap dan menjalani kehidupan mereka di daratan sekaligus berkhidmat dalam pelbagai bidang sektor kerajaan dan sektor swasta terus berkembang maju dari pelbagai aspek kehidupan berbanding dengan kaum Bajau Laut yang majoritinya masih lagi tinggal di dalam bot dan di persisiran pulau di Semporna. Perbezaan status di antara dua suku kaum ini adalah bagi suku kaum Bajau Laut secara realitinya mundur dan ketinggalan zaman, manakala bagi suku kaum Bajau Darat kehidupan mereka berubah mengikut peredaran zaman pada masa kini, maka kaum Bajau Darat telah memberi gelaran kepada kaum ini sebagai “Pala 'u” iaitu bermaksud Bajau Laut. Selain itu, perbezaan dari segi penggunaan bahasa bajau, Bajau Laut menggunakan bahasa dengan berbunyi iaitu seperti bernyanyi berbanding Bajau Darat yang menggunakan bahasa normal.

Dari segi sejarah komuniti Bajau Laut pula yang terdapat di Semporna pada hari ini, adalah berasal dari keluarga besar Bajau di selatan kepulauan Filipina dan mula bermigrasi dan menetap di kawasan perairan pantai timur Sabah (Laut Sulu) semasa era pemerintahan Kesultanan Sulu lagi, iaitu sekitar abad ke-18. Nampaknya sukar untuk difahami dari perspektif dalaman kaum ini sendiri tetapi berada dalam sejarah dan asal usul keluarga besar suku kaum Bajau.

Pada hari ini, majoriti kaum Bajau Laut yang baru menetap di kawasan perairan Pulau Mabul adalah berasal dari perairan Pulau Sitangkai yang terletak disempadan perairan antarabangsa Filipina-Malaysia yang tinggal di dalam bot dan hidup secara nomad. Apabila terbentuknya sebuah negara bangsa dan sempadan antarabangsa antara Filipina-Malaysia, kaum ini tidak diiktiraf sebagai rakyat kedua-dua buah negara kerana tidak menetap di tanah daratan dan pulau milik Filipina dan Malaysia tetapi bergerak bebas mengikut angin dan arus di Laut Sulu sahaja. Ketiadaan satu bentuk persefahaman antara Malaysia-Filipina untuk menentukan nasib kaum ini telah menyebabkan mereka tiada tempat untuk singgah di daratan atau pulau milik mutlak Malaysia-Filipina melainkan terus berada diperairan Laut Sulu yang longgar dari segi pemilikan dan kawalannya. Walau bagaimanapun, kaum Bajau Laut ini nampaknya lebih suka berada di kawasan perairan pulau-pulau di Sabah berbanding pulau-pulau di selatan Filipina kerana lebih stabil dari segi keselamatan dan lebih mudah untuk mencari rezeki. Dalam erti kata lain, kekaburan dalam status kerakyatan dan kedudukan mereka diperairan Sabah-Filipina telah menyebabkan kaum ini diklasifikasikan sebagai stateless people sahaja dan bukannya pendatang tanpa izin dan pelarian politik.

Secara keseluruhan identiti, sejarah asal-usul dan keberadaan mereka (bajau laut) di bumi Sabah nampaknya masih lagi kabur. Dalam erti kata lain, kaum Bajau Laut di Sabah ini seolah-olah tidak mempunyai sejarah asal-usul dan identitinya sendiri sehingga terpaksa "ditumpangkan" dengan sejarah besar kaum Bajau Darat. Tambahan pula, dalam pegangan agama Bajau Laut dianggap sebagai “pagan” iaitu kafir sehingga kini.

Walau bagaimanapun, suku kaum Bajau ini sangat besar kelompoknya. Hakikatnya, baik di Selatan Filipina, Borneo Utara, Johor, Riau-Lingga atau Maluku, kawasan-kawasan tersebut adalah dalam lingkungan Nusantara tempat tersebarnya suka kaum ini. Ramai yang berpendapat bahawa suku ini berasal daripada Johor, tetapi itu hanya satu andaian sahaja tanpa melihat drpd sejarah KEDATANGAN ISLAM DI SABAH. Tetapi tidaklah keterlaluan bahawa orang Bajau memang pernah singgah ke Tanah Melayu dalam perjalanan mereka dari Teluk Burma dan mungkin singgah ke Johor. Untuk memperkuatkan lagi andaian ini, berikut diperturunkan hujah bahawa sifat orang Bajau yang suka mengembara. Menurut Daved Sopher, pengembara-pengembara laut (Bajau terkenal juga sebagai pengembara laut) telah mengembara ke empat kawasan utama di Asia Tenggara, iaitu Laut China Selatan (termasuk kepulauan Riau-Lingga, pulau-pulau Tujuh, pulau-pulau Bangka dan Biliton, kepulauan Sulu, Sabah, Indonesia Timur dan kawasan Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu. Tetapi bagi suku kaum Bajau di Semporna bukanlah berasal daripada Johor tetapi dr keturunan Seliangaya Bungsu (Filipina).

Terdapat sekurang-kurangnya 31 subdialek bahasa ini yang dituturkan di Sabah dan Selatan Filipina. Subdialek ini belum mengambil kira subdialek yang terdapat dan dituturkan di Indonesia Timur. Berikut adalah 31 subdialek tersebut:

1. Ubian
2. Sallogan
3. Sapa’
4. Sikubung (suku saya dr sebelah bapak)
5. Sapa’-sapa’
6. Tando’ Bas
7. Basbas
8. Tando’ Banak
9. Ungus Matata
10. Lo’ok Nato’
11. Kohek
12. Bannaran
13. Sitangkai
14. Simunul
15. Sibutu’
16. Pangutaran
17. Siasi
18. Laminusa
19. Nusa
20. Larapan
21. Musu’
22. Manubal
23. Pala’u
24. Kota Belud
25. Sama (Pantai Barat Sabah)
26. Sisangat
27. Siamal
28. Tabawan
29. Kagayan
30. Bangingi' (Balagnini atau Balangingi)
31. Tatabuan-Kaniogan


Sumber : Prof. Madya Dr. Ismail Ali, Kajian Malaysia drpd Imam Malang Imam Jamlang (temubual di Pulau Omadal, Sabah, 15/3/2009) dan Haji Bokara (temubual di Pulau Bum-Bum, Sabah, 14/3/2009).